SELAMAT TAHUN BARU 2011
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011
kepada semua….
KENANGAN SEMASA BERADA DI DALAM HUTAN BELANTARA
Pengalaman semasa berada di dalam hutan belantara akibat motosikal rosak sambil menunggu Hilux tiba..
Beginilah keadaan perjalanan masuk dan juga keluar jika sekiranya hujan turun sehingga terpaksa mengambil masa yang cukup lama untuk keluar masuk. Jika hari biasa atau cuaca elok kami mengambil masa dalam 2 jam untuk sampai ke destinasi tetapi jika sekiranya cuaca tidak elok atau hujan adakalanya memakan masa sehingga 4 jam lebih untuk sampai..Bagi kami jatuh bangun sudah menjadi kebiasaan dalam mengharungi jalan-jalan yang berliku dan juga jalan licin semasa menaiki bukit atau menuruni bukit.
KENANGAN PAHIT MANIS SEMASA DI BUMI LENJANG
PAHIT MAUNG DI BUMI TOK GAJAH SK LENJANG
Pertama kali aku mendapat surat posting di Negeri Pahang tidak terfikir yang aku akan di tempatkan di kawasan pedalaman iaitu di penempatan orang asli yang diberi nama Lenjang. Setelah aku menghadiri satu taklimat penempatan di Kuantan Pahang, seorang demi seorang dipanggil untuk mengetahui di mana tempat bertugas. Sampai giliran aku, nama aku dipanggil untuk naik ke pentas menerima surat penempatan yang di dalam Daerah Kuala Lipis iaitu di sekolah SK Lenjang. Ketika itu seramai empat orang guru termasuk aku yang ditempatkan di SK Lenjang. Kami juga dimaklumkan bahawa, kami semua akan mendapat elaun kesusahan sebanyak RM1000. Dalam benak fikiran ku mungkin untuk ke tempat tersebut agak mencabar tapi itu semua cuma lintasan dari fikiran ku sahaja dan aku tidak tahu akan keadaan sebenar. Ikuti kisah selanjutnya.
PERJALAN KE SK LENJANG
Semasa kami berada di PPD Lipis, kami diberi taklimat sekali lagi oleh pegawai yang terlibat. Selepas saja kami selesai mendengar taklimat, kami sebagai guru baru dijemput oleh kerani sekolah SK Lenjang dan memberi sedikit maklumat untuk ke SK Lenjang. Semua perjalanan untuk ke sekolah tersebut sudah pun diatur dan diuruskan oleh kerani tersebut maklumlah kami seolah-olah buta tidak tahu ke mana hendak dituju. Perjalanan dari PPD Lipis untuk ke Balai Polis Sungai Koyan memakan masa selama hampir 1 jam. Setibanya kami di situ sudah ada kenderaan pacuan 4 roda (Hilux pembekal makanan untuk asrama sekolah) yang menunggu kami untuk dibawa masuk menuju ke sekolah tersebut. Kenderaan yang kami naiki terpaksa ditinggalkan di balai polis. Di situlah kami menaiki Hilux dan terpaksa duduk di bahagian belakang yang penuh dengan makanan terus menuju ke tempat yang dituju. Dari Balai polis ke Pos Betau memakan masa lebih kurang 30 minit yang berakhirnya jalan berturap. Di situlah bermulanya cabaran yang terpaksa kami lalui dengan jalan tanah merah yang berbukit-bukau yang penuh dikelilingi hutan tebal serta terpaksa melalui lereng-lereng bukit yang curang. Jalan yang agak teruk untuk sampai ke tempat yang dituju terpaksa melalui becak-becak yang agak licin sehingga kenderaan yang kami naiki kadangkala berpusing ke kiri dan ke kanan serta mengimbangi agar tidak terus hilang kawalan akibat dari tanah yang agak licin dan berbatu semasa menaiki dan menuruni bukit. Semasa dalam perjalanan kadang-kadang kepala terasa pening kerana di goncang oleh kenderaan tersebut. Setelah sekian lama perjalanan kami meredah hutan tebal kami melalui perkampungan orang asli dan anggapan kami mungkin sudah tidak jauh lagi untuk sampai ke sekolah namun semuanya meleset kerana untuk sampai ke tempat yang dituju hampir 1 jam lagi. Beberapa perkampungan orang asli kami lalui sehinggalah sampai ke sekolah tempat di mana kami ditugaskan. Di tengah-tengah hutan itulah terletaknya sekolah tempat di mana kami akan bertugas nanti yang 100% orang asli. Kawasan sekolah dikelilingi dengan bukit bukau serta kedengaran deruan air sungai yang berhampiran dengan kawasan sekolah tersebut. Udaranya cukup nyaman dan menyegarkan membuat aku berasa tenang seketika. Tidak terlintas di fikiran aku terdapat sekolah yang jauh nun di sana di mana adanya penduduk yang tinggal di situ. Tidak ada bangunan lain yang wujud di situ kecuali bangunan sekolah sahaja dan terdapat juga penempatan orang asli yang berhampiran dengan sekolah. Jika dilihat akan bangunan sekolah itu tidak sesempurna bangunan yang pernah kita lihat.
KENANGAN MANIS SEBAGAI GURU DI SK LENJANG
Selama aku bertugas di SK Lenjang banyak terselit kenangan-kenangan manis yang menjadikan aku terus tabah dalam menghadapi liku-liku hidup dalam kelompok masyarakat orang asli. Pertama kali aku melihat kehidupan orang asli keadaannya sangat daif membuatkan aku terfikir bilakah masyarakat orang asli ini akan maju dalam kehidupan. Kehidupan harian masyarakat mereka memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat kita hari ini. Selama aku ditugaskan di situ, jika dilihat dari sudut mata kasar masyarakat orang asli sukar untuk berlakunya perubahan jika mereka tidak merubah sikap mereka dalam kehidupan harian. Kalaulah masyarakat mereka hantar anak ke sekolah sekadar untuk mendapat peruntukan kerajaan yang diberikan kepada mereka semata-mata serta tidak memikirkan masa depan tidak mungkin masyarakat orang asli akan maju.
Kami warga Lenjang khususnya guru-guru dari segi hubungan boleh dianggapkan sebagai satu keluarga kerana cuma golongan ini sahaja yang tinggal di sini dan tidak ada lagi hubungan dengan dunia luar secara umumnya. Bagi aku hubungan ini jika dibandingkan dengan sekolah luar agak jauh berbeza. Membuatkan hubungan kami bertambah erat antara guru sesama guru.
Begitu juga, setiap kali untuk masuk ke tempat kami bertugas bagi yang menunggang motosikal kami akan berkumpul terlebih dahulu di balai polis Sungai Koyan. Jika semuanya sudah cukup barulah kami bergerak masuk dalam lingkungan 7 hingga 10 orang. Perjalanan kami memakan masa lebih kurang 2 jam jika tiada masalah dalam perjalanan dan hari tidak hujan. Jika sekiranya hari hujan ada kalanya memakan masa 3 jam atau lebih untuk sampai ke sekolah. Biasalah setiap kali masuk ke sekolah bukan semuanya baik. Pelbagai masalah yang terpaksa kami hadapi. Jika kami menghadapi masalah seperti tayar motosikal pancit atau motosikal rosak semua memainkan peranan masing-masing untuk menolong antara satu sama lain. Walaupun terpaksa kami hadapi semua itu, tapi kami rasa cukup seronok. Sepanjang perjalanan masuk bermacam-macam kerenah dan gelagak yang melucukan dapat dilihat. Apabila sampai di sekolah, masing-masing menceritakan perihal mereka semasa dalam perjalanan tersebut menyebabkan kami berasa seronok mendengar serta melihat telatah mereka.
Pada hari minggu khususnya jika kami tidak keluar beberapa aktiviti atau program yang pernah diikuti seperti menangkap ikan di sungai yang berhampiran dengan sekolah atau sungai yang jauh dari sekolah yang mana terdapat banyak ikan. Kumpulan kami yang mana dikepalai oleh orang asli sebagai pandu arah ke tempat yang dituju. Alat yang biasa kami gunakan untuk menangkap ikan ialah dengan menggunakan ceracat ikan yang matanya dibuat dengan lidi payung dan badannya dibuat dengan buluh untuk menembak ikan di dalam air ketika menyelam. Kebiasaan ikan yang kami dapat seperti ikan kelah dan ikan tengas cuma hasil tangkapan itu tidaklah sebesar mana. Setiap kali kami turun ke sungai pasti membuahkan hasil walaupun hasil tangkapan tidaklah terlalu banyak, sekadar dapat gulai dan juga goreng. Suasana yang dingin berserta udara yang nyaman menjadikan persekitaran yang segar dan damai.
Kami guru-guru SK Lenjang seramai 12 orang termasuk orang asli sebagai juru pandu pernah mendaki Bukit Batu Putih hingga ke puncak untuk melihat keindahan alam dan juga pemandangan di sekitar Lenjang serta sekelilingnya. Perjalanan kami bermula antara jam 9.00 pagi dengan berbekalkan sedikit makan berjalan meredah hutan belantara mendaki bukit dan menyusuri sungai yang airnya begitu laju serta sejuk tanpa menghiraukan penat lelah sehinggalah sampai ke puncak bukit kira-kira jam 2.00 petang. Kami berehat dan juga makan seketika di puncak tersebut untuk melepas penat yang ditanggung. Cuma rehat dan makan seketika saja kerana matahari sudah beransur-ansur tenggelam walaupun ketika itu cuaca masih terang benderang tetapi berbeza jika kita berada di tengah-tengah hutan tebal. Kami bergegas menyusuri bukit dengan perlahan-lahan kerana keadaan bukit agak curang dengan batu yang agak tajam. Kami perlu pulang awal kerana takut hari makin gelap dan tidak dapat untuk mencari jalan keluar. Dalam perjalanan pulang kami telah diserang oleh sekumpulan tebuan yang tinggal di atas pokok berhampiran laluan kami menyebabkan kami semua dikejar lari lintang pukang. Beberapa orang guru terkena sengatan tebuan tersebut menyebabkan kami terpaksa berhenti dan merawat guru yang kena sengatan tebuan tersebut. Segala ubat-ubatan telah kami sediakan jika sekiranya menghadapi segala musibah dan sebagainya. Hari semakin gelap ada ketikanya kami sesat tetapi dengan adanya juru pandu orang asli itu kami dapat keluar dengan selamat. Kami sampai di sekolah kira-kira maghrib tetapi keadaan sudah pun gelap. Jika sekiranya tanpa bantuan orang asli tak mungkin kami akan dapat sampai ke puncak bukit tersebut. Satu perkara yang membimbangkan kami apabila meredah hutan tanpa bantuan orang asli ialah takut terkena jerat @ perangkap (belantik) untuk memerangkap binatang hutan seperti rusa, landak, babi dan sebagainya. Jika terkena boleh membawa maut, itu yang kami takutkan. Namun begitu, kami rasa puas dapat meredah hutan belantara yang tak mungkin dapat dirasai oleh guru-guru yang berada di luar sana serta melihat keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa.
Begitu juga pada musim buah-buahan, bagi kami guru di sini agak mewah dengan buah-buahan tapi yang paling banyak sekali ialah buah durian. Bagi yang suka makan buah durian itu kira agak bertuah tinggal di sini. Bermacam-macam jenis buah durian di sini, walaupun kami bayar tetapi harganya rendah jika dibandingkan di luar sana.
KENANGAN PAHIT SEMASA BERADA DI LENJANG
Masih aku ingat lagi hari pertama menjejak kaki pada hari persekolahan, aku melihat persekitaran sekolah agak kotor begitu juga dengan bau yang kurang enak menyebabkan aku tiga empat hari hilang selera makan. Hari pertama persekolahan (hari Isnin) aku melihat penampilan murid agak terurus tetapi hari-hari berikutnya hanya Tuhan saja yang tahu dengan pakaian kotor dan berbau serta tidak terurus. Pakaian yang kotor serta murid berkaki ayam bagi yang tidak berkasut menyebabkan kawasan sekolah menjadi kotor khususnya di dewan makan menyebabkan aku hilang selera makan. Begitu juga dengan bekalan air yang mengalir terus dari sungai menyebabkan ada kalanya ia bersih dan ada kalanya kotor. Sebelum ini aku tidak pernah melihat air yang begitu kotor berwarna hitam untuk mandi. Perkara ini terjadi sekiranya hujan menyebabkan air menjadi kotor tak ubah seperti air longkang. Apabila sudah sekian lama, aku dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran, aku sudah tidak kisah lagi tentang perkara tersebut.
Bekalan elektrik juga tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat dalam penggunaan elektrik kerana sumber bekalan elektrik cuma dari tenaga solar sahaja. Jika sekiranya hari tidak panas atau hujan menyebabkan bekalan elektrik tidak dapat bertahan lama. Kami cuma menggunakannya bagi perkara-perkara penting sahaja khususnya pada waktu malam bagi menerangi kegelapan malam. Jika sekiranya bekalan elektrik berkurangan kami akan kegelapan di waktu malam. Dari segi perhubungan dengan dunia luar cuma dengan talian Internet sahaja itu pun jika bekalan elektrik mencukupi dan kebiasaannya Internet dapat digunakan dengan baik pada waktu malam sahaja. Manakala pada siang hari Internet terlalu perlahan dan tidak dapat digunakan dengan baik. Segala talian telefon tidak dapat digunakan kerana kawasan sekolah kami jauh di kawasan pedalaman.
Jika dikenangkan peristiwa-peristiwa pahit memang banyak dan susah untuk aku lupakan. Peristiwa ini berlaku dari mulanya aku di tempatkan di sini hinggalah ke hari ini. Banyak kenangan pahit yang terpaksa aku tempuhi walaupun berat bagi aku untuk menerimanya. Kenangan pahit yang tidak pernah aku lupakan hingga ke hari ini dan ini sudah menjadi kebiasaan bagi aku iaitu semasa keluar masuk ke sekolah. Aku dan juga guru-guru lain, ramai yang masuk ke sekolah dengan menunggang motosikal sendiri. Semasa meredah hutan itulah berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Kalau setakat jatuh dua atau tiga kali sudah menjadi kebiasaan bagi kami untuk sampai ke sekolah. Yang paling menakutkan jika hari hujan, cukup menakutkan kerana jalan tanah merah dan berbatu-batu terlalu licin. Maklum la meredah hutan menyusuri lereng-lereng bukit yang curang, kalau tidak hati-hati silap-silap jatuh cerung. Aku masih ingat lagi semasa aku keluar bersendirian tanpa ditemani teman-teman untuk menghadiri temu duga SPP di Raub, aku hampir-hampir tercampak ke lembah yang cukup curam di lereng bukit kerana jalan licin dan berbatu mujurlah aku dapat mengawal motosikal yang aku tunggang kalau tidak entah apa akan terjadi. Aku bersyukur kerana dapat keluar dengan selamat.
Begitu juga dengan hari-hari yang kami keluar atau masuk terutama hari minggu sehinggalah ke hari ini perkara ini akan berulang-ulang. Kami terpaksa keluar pada setiap hujung minggu kerana bekalan makanan tidak mencukupi kecuali jika sekiranya terdapat program atau sekolah ganti. Jika nasib kami baik perkara-perkara tersebut tidak akan berlaku. Jika nasib kami tidak baik perkara-perkara yang tidak diingini akan berlaku. Kami cuma mampu berserah pada Yang Maha Esa sahaja. Ada kalanya kami terpaksa membonceng atas sebab-sebab tertentu menyebabkan perjalanan kami lagi berisiko tinggi. Bermacam-macam perkara yang pernah kami alami semasa menaiki dan juga menuruni bukit. Ada suatu ketika akibat membonceng, bahagian depan motosikal (tayar hadapan) terangkat berdiri tegak kerana tidak dapat menampung berat bebanan di belakang semasa menaiki bukit menyebabkan yang duduk di bahagian belakang terpelanting dan nasib menyebelahi kami kerana hampir-hampir ditimpa motosikal. Begitu juga semasa hujan, tanah menjadi licin dan motosikal sudah tidak lagi terdaya untuk memanjat bukit menyebabkan aku terpaksa turun menolak motosikal sambil memulas minyak untuk melepasi bukit yang licin sehingga ada kalanya aku sudah tidak terdaya lagi kerana kepenatan tetapi apa boleh buat nak tak nak terpaksa aku lalui juga.
Pada awal tahun 2009, masih aku ingat lagi sebelum masuk ke sekolah kami difahamkan jalan laluan masuk sangat teruk dan berbahaya kepada penunggang motosikal jadi niat kami untuk memasuki dengan motosikal terpaksa dibatalkan. Kami semua menaiki kenderaan pacuan 4 roda masuk, ternyata memang benar jalan menuju ke sekolah memang bahaya kerana jalannya sangat licin dan ada jalan yang putus dilalui air. Jika sekiranya kami menunggang motosikal sudah pasti motosikal tidak dapat melepasinya. Kami yang menaiki kenderaan tersebut terpaksa bertungkus lumus membuat benteng bagi membolehkan kenderaan itu melaluinya. Begitu juga, semasa menaiki bukit kami terpaksa turun dan menolak kenderaan tersebut dua atau tiga kali untuk melepasi bukit yang licin itu. Sampai saja di beberapa buah bukit kami terpaksa turun dan tolak kenderaan tersebut untuk sampai ke sekolah.
Pengalaman mengajar golongan masyarakat minoriti ini cukup mencabar bagi guru-guru yang baru, memandangkan kami masih lagi kurang pengalaman dalam bidang perguruan. Pertama kali aku masuk ke dalam kelas tahap satu khususnya tahun satu, aku tidak tahu bagaimana untuk mengajar mereka. Ini kerana mereka tidak semuanya faham bahasa Melayu, cuma segelintir sahaja yang faham terutama yang sudah biasa masuk kelas PRA sebelum ini. Aku terpaksa bertanyakan kepada guru-guru yang lama asas Bahasa Semai seperti duduk, bangun, beratur dan sebagainya. Bahasa yang digunakan di sini ialah Bahasa Semai yang masyarakatnya berketurunan Semai dan tidak ada agama. Cuma segelintir kecil sahaja yang ada agama iaitu agama Kristian.
Banyak lagi yang berlaku kepada kami namun itu semua dugaan bagi kami dalam menghadapi liku-liku hidup demi tugas yang telah diamanahkan.
PENGALAMAN MENGERIKAN SEMASA DI SK LENJANG
Pengalaman ngeri juga tidak terlepas dari ingatan aku, apabila aku mengimbas kembali kenangan-kenangan semasa aku mula-mula ditugaskan di SK Lenjang. Pertama kali aku menjejak kaki masuk ke dalam bilik yang aku tinggal hingga sekarang, aku berasa tiba-tiba saja seram. Entah bagaimana, aku pada ketika itu tidak terfikir langsung tentang benda-benda yang mistik yang luar dari jangkaan aku menyebabkan bulu roma aku meremang tiba-tiba tanpa diduga. Namun perkara ini aku tidak peduli dan aku buat-buat tidak endah sahaja. Aku mendiamkan diri tanpa memberitahu rakan-rakan aku yang lain. Mungkin itu cuma perasaan aku sahaja.
Di awal penempatan, memang setiap kali aku masuk saja di dalam bilik aku akan terasa ada sesuatu yang tak kena rasa seram semacam saja. Aku masih tidak pedulikan perasaan itu. Begitu juga pada waktu malam, masuk saja di dalam bilik aku rasa takut dan sepanjang malam aku terpaksa pasang lampu kerana ketakutan hinggalah sampai waktu subuh. Itu pun jikalau elektrik masih mencukupi jika tidak aku dalam kegelapan. Di malam-malam yang berikutnya sesuatu yang tidak diduga berlaku pada diri ku. Aku diganggu dan ditindih berkali-kali oleh makhluk yang tidak diundang sehingga aku rasa katil tempat aku tidur itu bergoyang. Walaupun aku tidak nampak wajahnya tetapi aku rasa cukup menyeramkan sehingga ada kalanya sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata hingga ke subuh hari. Aku masih lagi membisu sehinggalah salah seorang daripada kami membuka cerita tentang perkara yang sama berlaku seperti aku alami selama ini. Barulah aku tahu bahawa bukan aku sorang saja yang kena, rupa-rupanya ada juga guru lain yang turut mengalami nasib yang sama.
Beberapa orang guru baru, menceritakan kepada guru yang telah lama berkhidmat di situ tentang apa yang berlaku kepada mereka barulah guru-guru lama memberitahu kami bahawa pengalaman mereka lagi teruk dari kami jika nak dibandingkan dengan mereka sebelum ini. Kebiasaan perkara ini berlaku kepada guru-guru yang baru atau yang baru ditempatkan di sini. Dari pengalaman mereka ada yang menceritakan kepada kami tentang apa yang mereka lihat. Seorang daripada mereka menceritakan beliau pernah melihat tiga ekor makhluk Tuhan ini (hantu) atau Kit Moit (dalam bahasa orang asli) berada di dalam bilik di mana bilik tersebut sekarang telah dijadikan surau. Terdapat tiga ekor hantu yang berlainan wajah dan bentuk. Pertama yang kecil pendek (toyol), kedua yang besar dan ketiga yang tinggi sampai bongkok ke siling. Beliau menceritakan lagi bahawa yang kecil itu selalu ganggu khususnya semasa tidur dengan menyelak kelambu yang dipasang oleh beliau kerana yang kecil itu ketinggiannya paras ketinggian katil sahaja. Kami selalu diganggu pada awal posting sahaja dan selepas itu jarang-jarang berlaku. Barulah kami tahu bahawa kejadian seperti ini bukan kami sahaja yang kena malah sudah ramai guru yang diusik.
Awal tahun ini, tahun 2010 seramai tujuh orang guru yang baru ditempatkan di sini dan kesemuanya guru lelaki. Di awal kemasukan mereka iaitu minggu pertama mereka sudah ada pengalaman tersendiri iaitu pengalaman di waktu malam. Hampir keseluruhan guru tersebut mengalami nasib yang sama. Sehingga tidak dapat tidur malam sampailah ke pagi. Seorang demi seorang akan merasai gangguan dari makhluk itu. Akibat dari gangguan tersebut kami bersepakat buat Solat Hajat dan juga bacaan Surah Yasin agar dijauhkan segala bala bencana yang akan menimpa kami semua. Alhamdulillah, setelah melakukan perkara tersebut keadaan semakin pulih dan satu bilik lagi dijadikan surau. Dari cerita guru-guru lama rumah yang didiami oleh guru itu adalah bekas tapak kubur orang asli. Tempat tersebut diratakan dan dibina bangunan sebagai rumah guru. Inilah dugaan yang selalu menimpa kami khususnya bagi guru-guru yang baru ditempatkan di sini.
SK Lenjang disediakan kemudahan asrama bagi murid-murid yang tinggal berjauhan dengan sekolah. Sebelum ini ada juga, cerita daripada murid-murid bahawa mereka pernah melihat kelibat orang tua yang berjubah putih dan berjanggut putih panjang hingga mencecah ke tanah. Bila mereka lihat dan perhatikan lama-kelamaan hilang begitu saja dalam kegelapan malam. Banyak lagi kisah-kisah seram yang berlaku di sekitar SK Lenjang jika dihitung memang menjadi pengalaman dan cerita yang menarik bagi kita semua. Memandangkan guru-guru lama sudah ramai yang bertukar maka pengalaman ini hilang begitu saja.
PENUTUP
Selama aku berada di sini hampir 1 tahun setengah walaupun boleh dianggap masih baru sudah banyak pengalaman yang aku sendiri alami, susah senang hidup di pedalaman sudah menjadi kebiasaan bagi aku. Jika aku diberi pilihan atau guru-guru yang baru ditempatkan diberi pilihan aku rasa tidak mungkin mereka akan memilih tempat seperti ini kecuali dengan sebab-sebab tertentu sahaja. Ada kalanya aku pernah bertanyakan kepada bekas guru-guru yang pernah bertugas di sini adakah mereka akan kembali ke sini lagi jika diberi peluang. Jawapan yang mereka bagi ialah jika sekiranya elaun kesusahan dinaikkan sekalipun tak mungkin mereka akan kembali lagi. Sebenarnya aku sangat bertuah kerana ditempatkan di sini. Bukan soal duit atau elaun kesusahan yang aku dapat RM1000 tetapi bagi aku pengalaman itu penting. Bagi aku bukan senang untuk mendapat pengalaman seperti ini yang tidak ada pada kebanyakkan guru. Inilah beruntungnya aku di sini. Begitulah kisah aku sepanjang berada nun jauh di pedalaman yang bernama Lenjang.
Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur’an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur’an."
Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur’an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."
Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"
Maka berkata Al-Qur’an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur’an itu : "Adakah kamu Al-Qur’an?" Lalu Al-Qur’an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"
Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur’an."
KISAH LIMA PERKARA ANEH
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
ANJING-ANJING NERAKA
Sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu’adz, "Wahai Mu’adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan :
Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."
Sabda Rasulullah S.A.W., "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."
Kata Mu’adz, " Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?"
Sabda Rasulullah S.A.W., "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah S.W.T."
Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Bai itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. ‘Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.
KISAH BUMI DAN LANGIT
Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, ‘arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari’atnya juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu’alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah hiam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api.
Dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa pada setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.
Dalam hadis yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahannam, maka sebaik sahaja pintu neraka Jahannam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka disebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan di belakang mereka. Dan mereka (Jin dan Mausia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergetarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil, "Ya Tuhan kami, selamatkanlah."
Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras."
Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam.
TUJUH MACAM PAHALA YANG DAPAT DINIKMATINYA SELEPAS MATINYA
Dari Anas r.a. berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
KISAH KELEBIHAN BERPUASA PADA 10 MUHARRAM DAN PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU PADA HARI TERSEBUT
Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."
Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir’aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura !".
KISAH NAFSU YANG DEGIL PADA PERINTAH ALLAH
Dalam sebuah kitab karangan ‘Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.
MANUSIA BERHADAPAN DENGAN ENAM PERSIMPANGAN
Abu Bakar r.a. berkata, " Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh menagajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "….Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya…"
Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya.
Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan."
Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.
5 WASIAT DARI ALLAH S.W.T. KEPADA RASULULLAH S.A.W
Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :
Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T.
Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :
HIKMAH MENINGGALKAN CAKAP BOHONG
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."
Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan….sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."
Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.
KISAH NABI ADAM a.s.
Demikianlah wasiat Nabi Adam kepada anak-anaknya. Akhirnya, Nabi Adam menutup kedua matanya, dan para malaikat memasuki kamarnya dan mengelilinginya. Had Nabi Adam tersenyum ketika mendapatkan kata salam yang dalam, dan rohnya mencium bau bunga syurga.
KISAH HABIL DAN QABIL PUTERA NABI ADAM a.s
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 2009

FADHILAT RAMADHAN
Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Hadith 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
Hadith 3
Abu Sa’id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."
Hadith 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."
Hadith 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."
Hadith 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2009
Semoga Hari yang mulia ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kita sesama manusia dan maaf memaafkan antara satu sama lain semoga hari yang mulia ini menjadi hari yang paling di rahmati dan di berkati oleh Allah.
Dikesempatan ini aku ingin memohon ampun dan maaf untuk semua khususnya bagi warga LENJANG dan ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN.

